July 27, 2010

ZikrulMaut Motivasi Diri


ZikrulMaut

INILAH PERINGATAN BUAT DIRIKU YANG SERING LUPA…

Apabila datangnya Ramadhan lagi, kita seharusnya sedar yang umur kita semakin singkat. Prof. Hamka pernah menulis : Adapun manusia hidup di dunia ini ibarat orang belayar di lautan luas. Mereka menumpang sebuah kapal menuju daratan yang jauh di sana. Setelah sekian lama di laut, maka pada suatu hari kapal itu singgah pada suatu pulau. Adapun orang yang turun kepulau itu terbahagi kepada tiga golongan:

i) Yang pertama, mereka tahu dan ingat bahawa mereka dalam perjalanan. Setelah melihat sebentar,mereka akan kembali ke kapal. Mereka ingat bahawa pulau itu bukanlah menjadi tujuan.

ii) Yang kedua, mereka terpengaruh oleh keindahan pulau. Mereka terpegun dan terlena, tetapi kemudian mereka ingat bahawa mereka dalam perjalanan. Maka mereka kembali ke kapal, tetapi kerana terlambat, semua tempat duduk sudah ditempahi orang.

iii) Yang ketiga, inilah golongan yang malang.Setelah dibunyikan semboyan kapal yang pertama, kedua dan ketiga, tidak dipedulikan. Lalu kapal itu pun berangkat. Setelah kapal itu jauh, dipanggilnya tetapi tidak kembali lagi. Mereka inilah orang yang benar-benar malang.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah merasakan umur umatnya terlalu pendek berbanding dengan umat sebelumnya. Lalu baginda pun berdoa kepada Allah SWT mengadukan tentang umur umatnya yang tidak punya banyak waktu untuk beribadat. Maka Allah SWT menganugerahkan malam Lailatul Qadar kepada kita umat Muhammad bagi memanjangkan nilai umur kerana mengerjakan ibadah kepada malam itu seumpama beribadah selama 83 tahun 4 bulan! Itulah kurniaan besar daripada Allah kepada umat Rasulullah berkat kemuliaan peribadinya. Semoga kita tidak mensia-siakan kurniaan sebegini di bulan Ramadhan kali ini.

Kerana barakah Rasulullah jualah, umatnya yang paling ramai menghuni syurga kelak. Daripada 120 golongan yang memasuki syurga, 80 darinya adalah umat Muhammad. Hanya 40golongan dari umat-umat nabi yang terdahulu. Malah Nabi Ibrahim a.s apabila mendengar tentang kelebihan Rasulullah dan umatnya, pernah memohon kepada Allah SWT agar dia menjadi nabi akhir zaman. Namun Allah SWT tidak perkenankan kerana segalanya telah diatur. Lalu Nabi Ibrahim a.s memohon pula untuk menjadi umat Muhammad. Namun masih tidak diperkenankan oleh Allah SWT. Lalu Nabi Ibrahim a.s. akhirnya memohon agar namanya disebut oleh umat Muhammad dan diperkenankan oleh Allah SWT. Kerana itulah kita membaca doa kepada Nabi Ibrahim pada penghujung setiap solat setelah kita membaca tahyat akhir. Begitulah tinggi dan mulianya Rasulullah yang sering kita sebut namanya, tetapi amat payah untuk kita mensyukuri menjadi umatnya…

Rasullullah SWT pernah bersabda :

`Perbanyakkanlah mengingati mati kerana ianya penghancur segala kelazatan dunia.'
Kebanyakan manusia lupa akan tujuan hidup, lupa bahawa hidup di dunia tidak akan lama dan kita semua akan mati !! Oleh itu, sebagai umat Muhammad, hendaklah kita selalu megharapkan kurnia Allah SWT agar Dia tidak mencabut nikmat Islam sesudah Dia berikan kurnia itu kepada kita.Sesungguhnya nikmat ISLAM ini adalah yang terbesar dari segala nikmat di dunia ini.

Manusia selalu mencari-cari kesenangan. Sudah senang, ingin senang lagi. Kesenangan itu jarang disyukuri, namun kesusahan itulah yang menjadi perbincangan sepanjang hari. Kesenangan dunia ini diumpamakan oleh Allah SWT seperti fatamorgana. Ianya nampak, tetapi setelah didekati ia pun hilang. Hanya orang-orang yang lalai menyangka kesenangan itu terdapat dalam harta benda, pangkat dan kuasa. Ingat teman-temanku, hari ini kita berada disini. Mungkin esok kita sudah menjadi mayat, terbaring di liang lahat seorang diri. Dikamar yang gelap, sempit dan dingin dimana harta, pangkat dan kuasa sudah tidak lagi bernilai.

Kalau seseorang sering mengingati mati, akan timbullah sifat-sifat baik dalam dirinya, iaitu :

i) Abia – rajin beribadat
ii) Sakinah– perasaan tenang tidak gelisah
iii)Wara’ – tidak mahu berbuat maksiat
iv) Zuhud – harta dunia tidak melekat dihatinya

Dari Abu Hurairah r.a.
`barang siapa tidak suka menemui Allah (mati), Allah tidak suka menemuinya.’

Selalu mengingati mati mengandungi berbagai faedah dan manfaat. Diantaranya, zuhud pada dunia, qanaah (merasa cukup dengan apa yang ada) serta selalu melakukan amalan soleh dan meninggalkan laranganya. Kemudian menyegerakan diri untuk bertaubat kepadaNya atas segala dosa dan kesalahan yang telah terlanjur dilakukan. Sebaliknya melupakan mati akan memanjangkan angan-angan dan harapan. Kita akan selalu mencintai dunia dan bersusah-payah untuk mengumpulkan segala isi dunia yang tidak akan kekal. Kita akan bermegah-megah dengan perhiasan dunia dan menangguhkan diri untuk bertaubat dari segala dosa.

Rasulullah SAW bersabda :

`Orang-orang pertama dari umat ini akan selamat dengan zuhud dan kuatnya keyakinan pada akhirat. Ada pun yang terakhir dan akan binasa adalah kerana berlebihan cintanya pada dunia dan panjang angan-angan dalam hidupnya.’
Apabila hati seseorang manusia telah terpaut oleh perasaan ingin hidup lama di dunia ini, nescaya segala perhatian dan sikapnya akan tertumpu pada usaha untuk mengumpul harta benda dunia, sehingga semua itu akan melalaikannya mengumpul bekal ke akhirat. Lalu jika dia mati, ia akan menjadi seorang yang muflis di hadapan Tuhannya kelak.

Telah bersabda Rasulullah SAW :

`Apakah erti dunia bagiku. Hubunganku dengan dunia ini laksana seorang pengembara yang sedang berjalan di panas yang terik. Tiba-tiba kelihatan olehnya sebatang pohon, lalu ia pun berteduh sejenak di bawahnya. Sesaat kemudian ia pun pergi dan meninggalkannya.’
Begitulah kehidupan ini, diakhirat kelak kita merasakan yang kita hanya berada sehari sahaja di dunia ini!

No comments:

Post a Comment