October 08, 2010

Tugas Penuntut Ilmu

Tugas Penuntut Ilmu
Tugas setiap penuntut ilmu secara umum dapat digariskan sebagai empat tugas iaitu:

Memperbetulkan niat

Perkara pertama yang perlu diambil perhatian oleh penuntu ilmu ialah mempunyai keikhlasan niat demi untuk mencapai keredhaan Allah. Bukan untuk berbangga apabila digelar sebagai orang alim atau dengan tujuan untuk mengumpulkan harta, pangkat atau yang seumpamanya. Sabda Rasulullah SAW : 'Sesiapa yang mempelajari ilmu kerana Allah, tidak mempelajari ilmu kerana inginkan harta dunia, tidak akan dia temui kecuali Syurga hari akhirat kelak.' -Riwayat oleh Abd. Razak.Cuma perlu di ingat bahawa, jika harta, pangkat dan yang seumpamanya datang kepada seorang alim, maka tidaklah menjadi kesalahan untuk menerima dan memanfaatkannya.

Berterusan dalam menuntut ilmu.

Ilmu adalah lautan yang tidak mempunyai pantai dan tepian. Maka usaha menuntut dan menambahkan ilmu hendaklah berlaku secara berterusan, tidak dihalangi oleh peringkat-peringkat ijazah tertentu. Firman Allah SWT. "Katakanlah (wahai Muhammad) tambahkan aku ilmu" (Surah Toha :114)

Sabar dalam menuntut ilmu.

Seorang penuntut ilmu hendaklah sentiasa sabar dalam menempuh dugaan dan cabaran yang merintangi perjalanannya di dalam menuntut ilmu sama ada yang bersifat fizikal mahupun rohani. Tidak perlulah diceritakan di sini sejarah para sahabat dan ulama yang menempuh segala cabaran demi untuk menuntut ilmu.

Memuliakan guru.

Sabda Rasulullah SAW : 'Bukan dari umatku orang yang tidak memuliakan orang tua dan mengasihi anak-anak muda kami dan tidak mempelajari daripada orang-orang alim.' -Riwayat Abu Daud. Saya tidak bertujuan untuk menghuraikan hak seorang alim/guru yang perlu ditunaikan oleh muridnya di dalam artikel ini cuma dicadangkan agar kita mengambil sedikit dari masa kita untuk melihat kembali perkara ini, semoga segala ilmu yang kita tuntut akan mendapat keredhaan Allah SWT.

No comments:

Post a Comment